Search This Blog

8 April 2010

Skoliosis: Boleh dirawat melalui pemakanan dan senam (Berita Harian Malay Newspaper)



SIAPALAH yang ingin mempunyai badan yang bengkok angkara tulang belakang yang tidak tumbuh secara normal?

Keadaan ini biasanya disebabkan masalah disebut skoliosis (scoliosis).

Untuk merawatnya, cara biasa yang digunakan ialah memasang pendakap atau braces untuk 'membetulkan' tulang yang bengkok itu. Pembedahan juga boleh dilakukan, tetapi ia boleh memberikan beberapa risiko seperti kehilangan darah yang banyak dan kerosakan saraf.

Namun, pesakit skoliosis tidak perlu menjalani prosedur konvensional ini kerana ia boleh dirawat tanpa pembedahan, melalui satu sistem teratur yang melibatkan perancangan pemakanan yang disesuaikan dengan keperluan pesakit, dan program senaman dan meregang badan yang berstruktur.

Seorang doktor yang menjalankan rawatan seperti ini ialah Dr Kevin Lau, seorang pakar dalam bidang rawatan skoliosis tanpa pembedahan dan juga doktor bidang kiropraktik dan pemakanan holistik.

Menurut Dr Lau, yang menulis sebuah buku khusus mengenai skoliosis, Health in Your Hands, penyakit itu adalah satu masalah kesihatan yang berleluasa di seluruh dunia.

Data menunjukkan bahawa kedudukan tulang belakang yang tidak normal, yang membawa kepada bentuk tulang yang bengkok, menjejas hampir dua daripada tiga orang remaja dan mula ketara pada usia antara 10 tahun dengan 15 tahun apabila seseorang itu mula prihatin dengan bentuk badannya.

Di Singapura pula, seorang daripada setiap 10 orang menghidap apa yang disebut sebagai skoliosis lumbar (bahagian bawah tulang belakang), menurut satu kajian terbaru yang dijalankan sekumpulan pakar bedah tulang belakang diketuai oleh Profesor Wong Hee Kit, pengerusi Kelompok Ortopedik dan Pembedahan Mikro Tangan dan Rekonstruktif di Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS).

LEBIH KERAP DIHIDAPI WANITA

Apa yang lebih buruk lagi, kajian itu juga mendedahkan skoliosis dihidapi sebanyak 1.6 kali lebih kerap oleh kaum wanita, berbanding lelaki, dan menjejas dua kali ganda lebih ramai kaum Cina dan Melayu, berbanding India, kata Dr Lau.

Bukunya menyebut tentang seorang kanak-kanak perempuan, Susan, yang menghidap skoliosis. Semasa usianya 12 tahun, ibunya mengesan ada ketulan kecil di belakang badannya.

Beliau bimbang ketulan itu mungkin tumor, tetapi X-ray yang dijalankan menunjukkan tulang belakang Susan telah tumbuh bengkok dalam bentuk 'S'.

SKOLIOSIS IDIOPATIK

Susan rupa-rupanya mengalami skoliosis. Beberapa X-ray yang dijalankan selanjutnya menunjukkan tulang belakangnya bengkok 36 darjah dari garisannya.

Keadaannya disebut doktor sebagai skoliosis idiopatik yang bermaksud puncanya tidak diketahui.

Sekitar 80 peratus pesakit yang mempunyai masalah tulang belakang bengkok tergolong dalam kategori ini. Selebihnya berpunca daripada kecacatan sejak lahir, kecederaan pada tulang belakang dan penyakit saraf dan otot-otot seperti muscular dystrophy.

Dr Lau menarik perhatian bahawa rawatan konvensional skoliosis biasanya memerlukan pesakit menunggu dan melihat sejauh mana tulangnya telah bengkok melalui pemeriksaan setiap enam bulan atau setiap tahun.

'Jika tulang itu bengkok antara 25 dengan 40 darjah, pesakit biasanya disarankan menggunakan pendakap. Kalau ia bengkok teruk melebihi 40 darjah, barulah pembedahan disarankan sebagai langkah terakhir,' kata Dr Lau.

Bagaimanapun, katanya, ramai ibu bapa dan pesakit tidak mahu menunggu dan melihat sejauh mana masalah skoliosis yang dihadapi telah menjadi lebih teruk.

'Mereka mahu sesuatu dilakukan lebih awal untuk mengelakkan penyakit itu daripada menjadi lebih buruk. Di sinilah kaedah-kaedah yang saya gunakan memberikan perbezaan.

'Walau bagaimana teruk sekalipun keadaan pesakit, kaedah saya boleh digunakan untuk apa jua peringkat skoliosis kerana tujuan utamanya ialah membaiki kesihatan pesakit dan membolehkan tulang belakangnya tumbuh secara normal melalui perancangan pemakanan dan senaman yang disarankan,' katanya lagi.

Buku ini boleh dibeli di kedai-kedai buku utama di sini dengan harga $38 (termasuk GST) senaskhah. Keterangan lanjut mengenai buku ini boleh didapati di laman web (www.spinal.com.sg)

No comments:

ShareThis